| Hantu / roh bolehkah kembali? |
|
|
|
SOALAN
Saya ada menonton
siaran televisyen mengenai rumah berhantu. Selain adanya kehadiran
lembaga yang hodoh, dikatakan orang ramai sering mendengar suara-suara
seperti orang menangis. Dikatakan bahawa penghuni rumah tersebut
meninggal akibat kemalangan jalan raya.
Persoalan saya, saya
percaya kepada kehadiran makhluk jin yang suka menghuni rumah yang
ditinggalkan. Tetapi, suara menangis ataupun bayangan pemilik rumah
yang telah meninggal dunia itu, adakah kerana roh si mati tidak
diterima bumi? Kalau tidak silap, saya pernah terbaca hadis yang
mengatakan ada roh yang tidak diterima oleh bumi. Jika benar demikian,
ke manakah roh ini pergi?
Jawapan
Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR.
Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala
jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran
suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara
Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak
lebih dari itu.
Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil berikut :-
Firman Allah ertinya : "
Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang
kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku
berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan.
Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan
yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada
DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).
Imam Mujahid (Tabien dan anak
murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh
adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke
dunia."
Firman Allah ertinya : "Allah
SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang
jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah
jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.." ( Az-Zumar : 42 ).
Melalui ayat ini, jelas
bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak
membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang
dijelaskan dalam ayat sebelum ini,
Terdapat juga ulama
berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh
orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn
Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut
boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang
telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik
atau buruk.
Prof Ahmed Azzedine
Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan
orang-orang kristian yang boleh bertemu dengan ruh si mati dengan
teknik jampian kahs adalah penipuan yang menggunakan Jin dan syaitan.
Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)
Destinasi Roh Selepas Mati.
Ulama berbeza pandangan dalam
menentukan tempat tinggal Roh selepas mati seperti berikut (Rujuk
Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet
Muasassah ar-Risalah) :-
a) Roh Mukmin di dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.
b) Kedua-duanya di dalam
kubur mereka, dan Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi
nikmatnya dan Kafir di bukakan lubang azab neraka.
c) Roh Mukmin di alam tinggi (‘illiyyin) di langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang ketujuh terbawah.
d) Roh para Shuhada' (mati
syahid) berada di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di kuburan
mereka. (pandangan Imam Ibn Abd Al-Barr)
Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadith:
" Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya." (Ibn Majah, no 1449 ; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
" Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya." (Ibn Majah, no 1449 ; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan sebuah hadith
lain, apabila seorang Mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit
sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT : Tuliskan
buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian
dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua
Malaikat ... (Ringkasan Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih
menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Manakala Roh si jahat dan
Kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan
digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka
tidak dibukakan pintu langit kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari
Surah al-A'raf . Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dtuliskan namanya
di dalam ‘Sijjin' (neraka) kemudian di campakkan Rohnya dan Nabi SAW
membacakan firman Allah : " Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka
adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau
diterbangkan ke tempat yang jauh" (Al-A'raf : 31) . Kemudian
dikembalikan kepada jasadnya, ...kemudian di datangi Malaikat..lalu
dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya,
dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Ringkasan
dari Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim,
Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan ayat Quran juga, ruh si jahat juga akan di azab di dalam alam barzakhnya. Iaitu :
" Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab" (Ghafir : 40)
" Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab" (Ghafir : 40)
Kesimpulannya, Roh tidak
mampu kembali ke alam dunia kerana Barzakh adalah tembok yang
menghalangnya, dan Roh mukmin di berikan nikmat di alam barzakh
manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment