Tuesday, 26 February 2013

6 Manfaat Berdoa

                                                                             

Assalamualaikum w.b.t,

          Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam semoga sampaikan kepada Nabi Muhammad  s.a.w, keluarga dan semua sahabatnya.

Pembaca yang budiman,

          Tahukah anda bahawa doa adalah tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah dan si hamba tidak dikatakan jujur dalam berdoa melainkan apabila ia jujur dengan Allah.

          Ketika kesusahan melilit maka anda tidak mendapat (penolong) selain Allah. Ketika musibah menghimpit maka anda tidak mendapat penolong, pembantu dan pemberi petunjuk selain Allah. Banyak manfaat doa. Antaranya ialah :

Pertama: Menampakkan ketauhidan

Seorang manusia yang paling agung ketauhidannya kepada Allah adalah yang paling banyak berdoa. Oleh kerana itu berdoa adalah bukti adanya jalinan hubungan dengan Allah.


Kedua: Jujur dalam ibadah

Dengan berdoa, anda jujur dalam beribadah kepada Allah dan dekat dengan-Nya. Oleh yang demikian, orang yang berdoa kepada Allah dengan suara perlahan menunjukkan bahawa dia percaya kepada Allah.

Ketiga: Meraih cinta Allah

          Hamba yang paling dicintai Allah adalah yang paling dekat-NYa dan yang paling banyak berdoa. Kaum muslim, manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling banyak berdoa.


Keempat: Kedekatan hamba kepada Allah

          Bila seorang hamba banyak berdoa maka dia akan merasa dekat dengan Allah dan inilah tingkat ihsan yang merupakan tingkat yang paling agung yakni : “Hendaklah engkau menyembah Allah seakan engkau melihatNya dan bila engkau tidak melihatNya, maka Dia melihatmu.”


Kelima: Percaya dengan janji Allah

          Orang yang percaya dengan Allah akan banyak berdoa, sedang orang yang gagal, kalah dan ragu-ragu sedikit berdoa.


Keenam: Mengusir syaitan

          Sebab syaitan akan terusir dari orang yang berdoa.

                                                           

Pembaca yang setia,

          Banyaklah berdoa, angkatlah tanganmu apabila berdoa, mintalah kepada Allah pertolongan dan kebaikan dan dalam ucapan dan perbuatan, berdoalah dengan nama-nama dan sifat-sifatNya dan berselawatlah kepada Nabimu waktu engkau berdoa.

Ingatlah…

          Bila anda meminta kepada manusia, mengetuk pintunya dan minta kepadanya dengan berulang-ulang, maka dia akan marah kepadamu. Sedangkan Allah, tiap kali anda meminta kepada-Nya maka tiap kali itu pula Allah mencintaimu, kerana anda bersandar kepada-Nya.

Wallahualam.

Sumber rujukan : Buku yang berjudul Bimbingan Taubat, Mohd Abdul Wahab

Sinar Syaaban

                                                           

Apa erti Syaaban?

Syaaban = berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

          Apabila Rasulullah s.a.w datang, beliau mengekalkan nama itu sehinga sekarang. Rasulullah s.a.w telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat-sahabatnya.

“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?”

Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)

                                                   

          Aisyah r.a meriwayatkan bahawa “Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadhan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa melainkan pada bulan Syaaban.”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

          Aisyah r.a juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan begitu banyak melainkan pada bulan Syaaban, sesungguhnya beliau berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan ia bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah Taala tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah s.a.w ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat baginda akan sentiasa melakukannya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

          Dalam pada itu, terdapat larangan berpuasa selepas dari Nifsu Syaaban atau pertengahan bulan Syabaan berdasarkan hadis berikut:

          Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syabaan maka janganlah kamu berpuasa.

          Amalan sunahnya ialah berpuasa di awal sehingga ke hujung Syabaan manakala berpuasa di hujung Syabaan kerana ingin menyambungnya dengan Ramadhan adalah ditegah seperti dalam hadis di atas.

Apakah rahsia menunaikan ibadah di bulan Syabaan?

          Abdullah bin Amru menceritakan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Taala melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nifsu Syabaan lalu diampunkan hamba-Nya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturrahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh. (Riwayat Imam Ahmad)

                                         

          Syabaan elok dijadikan sebagai saat untuk bertaubat dan memohon daripada Allah agar dikurniakan sifat istiqamah melaksanakan ibadah.

Wallahualam.

Salahkah menangis apabila mendapat musibah?

                                                                           

 “ Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan sesorang ketawa dan menangis.”
( Surah An-Najm : 43 )

            Allah s.w.t telah mencipta manusia sebagai makhluk yang sangat sempurna berbanding  daripada makhluk-makhluk-Nya yang lain. Namun, di sebalik kesempurnaan tersebut, Allah juga telah menciptakan kelemahan buat makhluk bernama manusia. Kelemahan tersebut ada pada hati manusia yang tidak pula dikurniakan kepada lain-lain makhluk Allah s.w.t.

            Lumrah bagi setiap manusia yang apabila ditimpanya musibah, lalu dia berasa sedih.  Air mata yang selama ini beku serta merta menjadi cair lalu menjadi cair dan bergenangan.

                                                                 

Salahkah menangis apabila mendapat musibah?

Lumrah dan sunnatullah bagi setiap manusia apabila mendapat musibah yang tanpa diduga, akan mengalirkan air mata. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah.

Jadi, wajarlah kita bersedih kerana manusia tidak sempurna dan setiap daripada kita mempunyai kelemahan. Namun, menangis bukanlah menunjukkan sama ada kita lemah atau tidak.

Menangis menunjukkan permulaan untuk seseorang itu menjadi kuat menghadapi kesedihannya dan membuatkan seseorang sedar tentang kesilapannya pada masa lalu.

Bersedih memang fitrah manusia sejak dilahirkan

Harus diingati, jika bersedih mestilah berpada-pada dan ingatlah bahawa semuanya datang daripada Allah…

Siapa yang bertanggungjawab ke atas setiap makhluk di bumi ini???

Sudah pasti Allah s.w.t, kerana Dialah yang menjadikan seseorang manusia itu berasa sedih, gembira, dan sebagainya.

Boleh menangis…tetapi,
Ambillah langkah bersederhana kerana jika berlebihan akan memudaratkan diri.

            Oleh yang demikian, hapuskanlah air mata  dan ayuh menjadi seseorang yang kuat menghadapi kesedihan. Ingatlah…Allah sangat sayang kepada orang Islam yang kuat dalam menempuh onak duri kehidupan dan orang-orang mukmin yang beriman paling dikasihi Allah.  Allah s.w.t tidak akan berlaku zalim kepada manusia dan  Dia tidak akan menurunkan musibah yang tidak padan dengan kemampuan hamba-Nya.

Wallahualam.
Hantu / roh bolehkah kembali?


SOALAN 
Saya ada menonton siaran televisyen mengenai rumah berhantu. Selain adanya kehadiran lembaga yang hodoh, dikatakan orang ramai sering mendengar suara-suara seperti orang menangis. Dikatakan bahawa penghuni rumah tersebut meninggal akibat kemalangan jalan raya.
Persoalan saya, saya percaya kepada kehadiran makhluk jin yang suka menghuni rumah yang ditinggalkan. Tetapi, suara menangis ataupun bayangan pemilik rumah yang telah meninggal dunia itu, adakah kerana roh si mati tidak diterima bumi? Kalau tidak silap, saya pernah terbaca hadis yang mengatakan ada roh yang tidak diterima oleh bumi. Jika benar demikian, ke manakah roh ini pergi?
 
 

Jawapan 
Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.
Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil berikut :-
Firman Allah ertinya : " Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).
Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."
Firman Allah ertinya : "Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.." ( Az-Zumar : 42 ).
Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,
Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau buruk.
Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian yang boleh bertemu dengan ruh si mati dengan teknik jampian kahs adalah penipuan yang menggunakan Jin dan syaitan. Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)
Destinasi Roh Selepas Mati.
Ulama berbeza pandangan dalam menentukan tempat tinggal  Roh selepas mati seperti berikut (Rujuk Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet Muasassah ar-Risalah) :-
a) Roh Mukmin di dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.
b) Kedua-duanya di dalam kubur mereka, dan Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi nikmatnya dan Kafir di bukakan lubang azab neraka.
c) Roh Mukmin di alam tinggi (‘illiyyin) di langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang ketujuh terbawah.
d) Roh para Shuhada' (mati syahid) berada di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di kuburan mereka. (pandangan Imam Ibn Abd Al-Barr)
Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadith:
" Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya."  (Ibn Majah, no 1449 ; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan sebuah hadith lain, apabila seorang Mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT : Tuliskan buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat ... (Ringkasan Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Manakala Roh si jahat dan Kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka tidak dibukakan pintu langit kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari Surah al-A'raf . Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dtuliskan namanya di dalam ‘Sijjin' (neraka) kemudian di campakkan Rohnya dan Nabi SAW membacakan firman Allah : " Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang jauh" (Al-A'raf : 31) . Kemudian dikembalikan kepada jasadnya, ...kemudian di datangi Malaikat..lalu dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya, dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Ringkasan dari Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan ayat Quran juga, ruh si jahat juga akan di azab di dalam alam barzakhnya. Iaitu :
" Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab" (Ghafir : 40)
Kesimpulannya, Roh tidak mampu kembali ke alam dunia kerana Barzakh adalah tembok yang menghalangnya, dan Roh mukmin di berikan nikmat di alam barzakh manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat. Wallahu'alam.

KASIH Umar Al-Khattab kepada seekor burung

                                                                     

Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar semua? Apa yang anda dah buat hari ni?

Jom istighfar jap..Astaghfirullahal’azim (3x)

Tahukah kalian?

Para sahabat sentiasa menyebarkan kasih sayang dalam kehidupan mereka. Syeikh Muhammad bin Abu Bakar Al-Ushfuri dalam karyanya, Al-Mawaizh Al-‘Ushfuriyyah mengemukakan kisah Umar Al-Khattab dengan seekor burung.

Jom buka minda dan jiwa menghalusi kisah ini.

**********
          Pada suatu hari, Umar pergi ke kota Madinah. Dalam perjalanan, beliau melihat seorang kanak-kanak menggenggam seekor burung pipit dan bermain-main dengannya.

          Umar berasa kasihan melihat burung itu lalu beliau memujuk kanak-kanak tadi menjual burung itu kepadanya. Kanak-kanak itu setuju dan sebaik sahaja Umar membeli burung itu, Umar pun melepaskannya.

 Selepas Umar wafat, ramai sahabat bermimpi berjumpa Umar. Dalam mimpi itu, terjadi dialog berikut:

Sahabat: Bagaimana Allah melayan kamu?

Umar : Allah mengampunkan saya dan membebaskan saya daripada seksaan.

Sahabat: Mengapa? Adakah kerana kamu seorang yang dermawan, adil dan zuhud?

Umar : Apabila kamu semua memasukkan saya ke dalam kubur, tinggallah saya sendirian di dalam kubur. Akal saya hilang dan anggota tubuh saya gementar ketakutan melihat mereka. Kedua-dua malaikat itu memegang tangan saya dan mendudukkan saya.

Kemudian saya mendengar seruan hatif iaitu suara tanpa rupa yang menyeru, “Wahai malaikat, tinggalkanlah hamba-Ku itu, kamu tidak perlu bertanya apa-apa kepadanya dan janganlah kamu menakutkannya. Aku mengasihi dan menyayanginya. Sesungguhnya, Aku membebaskannya daripada seksaan kerana sewaktu di dunia, beliau mengasihi seekor burung pipit. Jadi di akhirat, Aku pula yang mengasihinya.’.

********
Pembaca yang dirahmati Allah,

          Allah mencatatkan pahala bagi hamba-Nya yang berbuat kebaikan di bumi ini. Kita perlu sedar bahawa tugas kita di bumi ini antaranya adalah menyebarkan vitamin kasih sayang kepada semua makhluk. Bahkan kasih itu tidak terbatas kepada sesame manusia, malah kepada binatang juga.

Nabi pernah berkata:

“Orang-orang yang penyayang nescaya akan disayangi pula oleh Ar-Rahman (Allah). Maka sayangilah penduduk bumi nescaya penduduk langit pun akan menyanyangi kalian.”
(HR Ahmad)

          Di sinilah pentingnya kita menghayati Ar-Rahman dalam kehidupan kita sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Jom sebarkan vitamin kasih sayang kita kepada sesama mahkluk!

Wallahualam.

*Sumber kisah dipetik dari buku yang berjudul Menjadi wanita super dengan Asmaul Husna yang dikarang oleh Sulaiman Al-Kumayi.

Al-Muhaimin (Maha Memelihara)

                                                               

Bismillahirrahmanirrahim,

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hasyr, ayat 23:

Maksudnya: “Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah, dari apa yang mereka persekutukan.”

Pembaca yang dirahmati Allah,
          Allah itu Maha Pelindung, Penjaga, Maha Pengawal serta Pengawas, iaitu memerintah dan melindungi sesuatu. Allah memelihara segala sesuatu apabila kita mohonkan pemeliharaan hanya kepada-Nya. Seharusnya, kita perlu merasakan bahawa adanya pemeliharaan Allah yang telah menjaga diri kita, keluarga dan harta kita.

          Namun, malang sekali, kebanyakan dari kita meletakkan pergantungan kepada selain Allah. Contohnya, ada yang sudah merasa selamat daripada pencuri apabila rumahnya telah dikunci. Ini salah kerana kunci hanya ikhtiar, sedangkan pemeliharaannya tetap perlu disandarkan kepada Allah Ta’ala.

          Orang-orang yang berada dalam pemeliharaan Allah, maka kehidupan akhiratnya akan selamat. Jadi, kita harus selalu memohon pemeliharaan kepada Allah seperti dari sifat malas, kikir, hutang, dan azab neraka. Malah Allah telah mengajarkan kepada kita kalimat Ta’awudz (‘Auudzu Billaahi Minas Syaithoonir Rojiim). Di sinilah kita memohon pemeliharaan kepada Allah dari godaan dan bisikan syaitan. Walaupun Allah itu Al-Muhaimin tetapi kita sebagai hamba harus selalu memohon. 

Nak bukti Allah itu Maha Memelihara?

Jom halusi kisah ini..

*********
          Seorang penyelidik dari Perancis iaitu Maurice Bucaille telah memeluk Islam setelah dia menyelidik jasad Firaun yang pernah tenggelam di dasar laut. Jasad Firaun tersebut kemudian diawetkan. Al-Quran itu berbeza dengan kitab suci agama lain iaitu dalam pengetahuan mengenai Firaun.

          Bucaille adalah ahli bedah yang terkenal di Perancis dan pernah menjadi ketua klinik bedah di Universiti Paris. Bucaille tertarik terhadap Islam ketika dia mendalami kajian biologi. Ketika mendapat kesempatan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Bucaille mengumpul seluruh kemampuannya untuk mencungkil misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir tersebut.

          Akhirnya, dia perolehi sisa-sisa garam yang melekat pada tubuh mumia tersebut yang menjadi bukti terbesar bahawa dia telah mati kerana tenggelam. Jasadnya segera dijadikan mumia yang diawetkan.

Penemuan tersebut masih menjadi pertanyaan kepada profesor. Bagaimana jasad tersebut lebih baik berbanding dengan jasad-jasad yang lain padahal dia dikeluarkan dari laut?

          Hal ini telah menjadi keraguan terhadap Maurice Bucaille. Dia berkata pada dirinya sendiri, “Apakah masuk akal? Manusia di depanku ini adalah Firaun yang akan menangkap Musa? Muhammad mengetahui hal itu, padahal kejadiannya ada sebelum Al-Quran diturunkan?” Profesor Bucaille tidak dapat tidur.

          Dia membaca kitab Taurat dan menemukan ayat yang berbunyi, “Air pun kembali, menutupi kereta, pasukan berkuda dan seluruh tentera Firaun yang masuk ke dalam laut di belakang mereka tidak tertinggal satu pun di antara mereka.”

          Kemudian Bucaille membandingkan dengan Injil dan ternyata dalam Injil juga tidak dibicarakan mengenai diselamatkannya jasad Firaun sehingga dia menjadi semakin menghairankan.

                                                      

********
          Allah s.w.t melalui sifat memelihara-Nya sengaja mengawetkan jasad Firaun untuk memberi pengajaran kepada orang-orang sesudahnya bahawa Al-Quran adalah benar-benar suatu bukti daripada Allah s.w.t. Peristiwa ghaib itu membuktikan bahawa kebenaran Al-Quran akan terbukti di segala zaman dan keadaan.

Pembaca yang setia,
          Lihatlah betapa Allah itu bersifat Al-Muhaimin (Maha Memelihara). Letakkan semua pergantungan kita kepada Allah. Percayalah bahawa Allah itu Maha Mengawasi. Jangan takut, jangan gusar, jangan risau, Allah bersamamu. Di mana jua kamu berada, yakinlah Allah sentiasa ada.

Wallahualam.

*kisah dipetik dari Kisah Inspirasi Asmaul Husna, Nurdalila Yusof.

Ragu-Ragu Sama Ada Wuduk Batal Atau Tidak?

                                                                                   

Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Alhamdulillah juga Allah masih memberi kita mata untuk melihat dan membaca.

Apa yang kita dah lakukan hari ini?
Astaghfirullahal ‘azim (3x)
Pembaca yang dirahmati Allah,

Pernah tak kita ragu-ragu tentang status wuduk? Batal atau tidak?

Kebanyakan daripada kita..jawapannya YA!

Persoalannya:

Apakah yang perlu kita lakukan apabila merasa ragu sama ada wuduk batal ataupun tidak?


Jawapannya:

Apabila seseorang rasa ragu berkenaan wuduk sebelum mendirikan solat, ia perlu dikembalikan pada asalnya iaitu sama ada beliau sudah berwuduk ataupun tidak.

Sekiranya beliau sudah berwuduk, bererti wuduknya masih ada.

Sebaliknya jika belum berwuduk, maka wuduk itu tiada.

Tetapi apabila datang syak dalam solat sama ada batal ataupun tidak, maka beliau perlu meneruskan solatnya sehingga nyata dan yakin batal wuduknya.


Buat pembaca yang disayangi Allah,
          Moga terus menambahkan ibadah & memperbetulkan ia supaya menjadi lebih baik dalam rangka untuk lebih mendekati Allah taala.
                                                 
Wallahualam.

*Jawapan dipetik dari buku Fikah Harian, Dato’ Dr.Haron Din.